ANALISIS WACANA DALAM CERPEN ASAP DI BAWAH
DAUN
1.0 PENGENALAN
Berdasarkan hierarki tatabahasa,
wacana merupakan unit bahasa yang tertinggi. Secara umumnya, bahasa yang
melebihi peringkat ayat dikenali sebagai wacana dan semua perkara yang
melibatkan bahasa ialah wacana. Kemunculan bidang tatabahasa wacana ini bermula
pada zaman dahulu kala melalui bidang keagamaan dengan mengkaji kitab-kitab
agama seperti Kitab Veda dan seterusnya berkembang ke seluruh Eropah dan
Malaysia. Terdapat dua pendapat yang dikeluarkan mengenai asal usul perkataan
wacana. Pendapat pertama menyatakan bahawa ‘wacana’ berasal daripada kosa kata
Jawa, iaitu ‘wocono’ yang kata dasarnya ‘woco’ yang bermaksud baca. Manakala,
pendapat yang kedua menyatakan bahawa ‘wacana’ berasal daripada perkataan
bahasa Inggeris, iaitu ‘discourse’ yang berasal daripada bahasa Latin, iaitu
‘discursus’ yang bermaksud ‘larian ke dan lari’.
Menurut
Johnstone, B. (2002), wacana dilihat sebagai contoh sebenar komunikasi melalui
bahasa. Selain itu, wacana juga dalam bentuk jamak merujuk kepada pola
kepercayaan dan tindakan lazim di samping pola bahasa. Wacana demikian merujuk
kepada idea dan cara bertutur sehingga dapat mempengaruhi dan dipengaruhi. Cook
pula mendefinisikan wacana sebagai bahasa istilah umum yang bermaksud
percakapan atau penulisan yang menyatakan sesuatu yang agak panjang. Oleh itu,
wacana mempunyai topik dan sempadan. Di
Malaysia, menurut Sanat Md Nasir (1986), wacana merujuk kepada teks, iaitu unit
bahasa yang melebihi unit teks. Unit teks tersebut boleh berdiri sebagai satu ayat
yang baik secara fonik atau grafik. Manakala menurut Asmah Haji Omar (1980)
pula, beliau mentakrifkan wacana sebagai unit bahasa yang melebihi batas ayat.
Oleh itu, wacana boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian bab, buku,
siri, dan sebagainya.
Analisis wacana adalah padanan frasa
bahasa Inggeris iaitu discourse analysis. Istilah ini mula digunakan oleh
Zellig Harris pada tahun 1952 di barat apabila beliau menerbitkan makalah
dengan judul tersebut. Harris memanfaatkan teks tersebut bagi menghuraikan
unsur morfem, kata, frasa, pola ayat, dan taburannya dalam teks serta bagaimana
teks boleh dibina daripada unsur bahasa berkenaan. Menurut Beaugrande dan
Dressler, sesebuah teks yang komunikatif dikatakan perlu memiliki tujuh tahap
ketekstualan, iaitu melibatkan aspek tautan, aspek runtutan, tahap tujuan,
tahap penerimaan, tahap maklumat, tahap keadaan dan tahap interteks.
2.0 SINOPSIS
CERPEN ASAP DI BAWAH DAUN OLEH ZAHARAH NAWAWI
Cerita ini mengisahkan tentang seorang
wanita yang merupakan watak utama dalam cerita ini yang telah kematian
suaminya. Pada usia mudanya, dia telah berkahwin dengan seorang mualaf yang
berbangsa Cina iaitu Aming seorang anak tauke kedai runcit di Harimaupura.
Perkahwinan itu telah diletakkan syarat oleh kedua ibu bapanya, sekiranya dia
ingin berkahwin dengan Aming, lelaki tersebut mestilah memeluk agama Islam
manakala kedua-dua ibu bapa Aming pula meletakkan syarat yang lebih berat iaitu
sekiranya Aming ingin menikahi perempuan kacukan yang tidak pasti asal usul
keturunannya, talian kekeluargaan di antara mereka akan putus. Akhirnya, Aming
memutuskan untuk menikahi dia dan meninggalkan keluarganya.
Mereka
hidup dalam keadaan serba kekurangan, mereka menumpang untuk tidur di merata
tempat dengan berbantalkan bungkusan kain baju. Aming bekerja dengan mengangkat
guni-guni beras, gula, bawang, dan kentang ke dalam lori kontena. Dengan berkat
kerajinannya, dia dipelawa oleh tauke Badraii untuk bekerja kedai itu dengan
gaji tetap. Namun dua minggu selepas itu, Aming telah meninggal dunia akibat
dirempuh oleh sebuah lori baja yang terbabas masuk ke dalam kedai. Setelah
kematian suaminya, dia hidup dalam kesusahan dengan memakan sisa makanan yang
telah dibuang ke dalam tong-tong sampah di kedai makan dan juga kawasan
perumahan.
Hidupnya
berubah apabila dia bertemu dengan seorang wanita ketika dia sedang
menyelongkar tong sampah di sebuah kawasan perumahan. Pada mulanya, dia
menganggap bahawa wanita itu akan memarahinya kerana menyelongkar tong sampah
namun dia telah berikan makanan untuk mengisi perutnya yang lapar. Selain itu,
wanita yang juga ibu kepada enam orang anak itu, menawarkan dia untuk tinggal
bersama-samanya. Namun, dia tidak percaya pada mulanya kerana dia tidak
mempunyai apa-apa. Wanita tersebut membawa dia ke rumah dan memberikannya
pakaian dan juga bilik tidur. Namun, dia tidak selesa dengan kesenangan yang
diberikan oleh wanita itu. Oleh itu, dia memutus untuk mencari duitnya sendiri
dengan menjual jagung rebus.
3.0 ASPEK-ASPEK
PENGANALISISAN CERPEN ASAP DI BAWAH DAUN
3.1 ASPEK
TAUTAN ATAU KOHESI
Tautan atau kohesi merujuk kepada idea
atau esei yang dijalin dengan rapi sehingga menjadi bersepadu.
Menurut Tarigan (1987: 96), kohesi
merupakan organisasi sintaksis dan merupakan wadah kalimat-kalimat yang disusun
secara padu dan padat untuk menghasilkan tuturan.
Selain itu, Halliday dan Hassan (
2000: 145 ) menyatakan kohesi sebagai konsep makna yang mengacu pada hubungan
makna di dalam suatu wacana. Kohesi merupakan kesatuan semantis antara satu
ujaran dengan ujaran lainnya dalam suatu wacana. Kohesi adalah hubungan
antarkalimat di dalam sebuah wacana baik dalam skala gramatikal maupun skala
leksikal tertentu.
Terdapat dua jenis tautan atau kohesi.
Antaranya ialah kohesi gramatikal. Kohesi gramatikal adalah kepaduan yang
dicapai dengan menggunakan elemen dan aturan gramatikal. Jenis yang kedua
adalah kohesi leksikal. Kohesi leksikal merupakan hubungan leksikal antara
bahagian-bahagian wacana untuk mendapatkan keserasian struktur secara kohesif.
Unsur kohesi leksikal terdiri daripada sinonim, antonim, hiponim, repitisi dan
juga kolokasi.
Berdasarkan analisis cerpen “ Asap di
bawah Daun“, terdapat beberapa aspek tautan atau kohesi. Contohnya:
i.
Aming
tinggalkan keluarga. Aming heret dia ke hulu ke hilir. Demi sebuah cinta terbit
dalam ketulusan perasaan dan kemurnian jiwa dia ikut Aming walau merempat tidur
menumpang di rumah kawan yang sudi, di masjid atau surau, malah kerap melabuh
kepala berbantalkan bungkusan kain baju di mana-mana kaki lima kedai, sehingga
Aming dapat kerja mengambil upah mengangkat guni-guni beras dan gula, bawang
dan kentang dari lori kontena ke Kedai Runcit Badraii.
ii.
“Sekarang
saya tanya: Sudikah mak cik tinggal dengan saya? Saya ada keluarga. Ada ibu,
ada anak-anak seramai enam orang. Suami sudah meninggal. Masih ada ruang jika
mak cik sudi tinggal bersama kami.”
3.2 ASPEK
RUNTUTAN ATAU KOHEREN
Runtutan atau koheren merupakan
kesinambungan idea yang terdapat dalam sesebuah wacana sehingga menjadikan
sesebuah teks itu bermakna. Runtutan atau koheren merupakan asas dalam
pembinaan wacana kerana sesuatu teks itu dianggap sebagai wacana jika teks
tersebut mempunyai makna.
Menurut Eriyanto ( 242:
2003 ), koheren merupakan pertalian atau jalinan antara kata atau kalimat dalam
sesebuah teks.
Terdapat beberapa jenis
pertalian makna dikemukakan oleh Ramlan yang menghubungkan informasi dalam
suatu ayat dengan ayat yang lain yang menyebabkan terbentuknya kepaduan
maklumat dalam sesebuah teks. Antaranya ialah:
a)
Hubungan
Sebab dan Akibat.
Koheren jenis ini
menyatakan sebab bagi ayat pertama dan akibat untuk ayat yang terakhir.
b)
Hubungan
Akibat Sebab
Koheren jenis ini
menyatakan akibat bagi ayat yang pertama dan sebab untuk ayat yang kedua.
c)
Hubungan
Hasil
Ayat pertama untuk
perolehan yang dinyatakan pada ayat yang seterusnya.
d)
Hubungan
Tujuan
Koheren jenis ini
merupakan ayat yang kedua untuk syarat tercapainya apa yang dinyatakan pada
ayat yang lain.
e)
Hubungan
Alasan Tindakan
Merupakan ayat pertama menyatakan
sesuatu alasan dan ayat yang kedua menyatakan sesuatu tindakan.
f)
Hubungan
Perbandingan
Koheren jenis ini menunjukkan
perbandingan bagi ayat yang kedua untuk menyatakan makna bagi ayat pertama.
Berdasarkan analisis cerpen “Asap di
bawah Daun”, terdapat beberapa aspek runtutan atau koheren. Contohnya,
3.1
Waktu
itu kedengaran bunyi keriau anak kucing jatuh ke dalam longkang. Sejak semalam
dia mendengar jeritan cemas tersebut. Dia ingin membantu namun longkang itu
terlalu dalam. Menyamai ketinggian dua lelaki. Jika dia turun, pasti tidak
mampu naik. Dinding longkang itu licin berturap simen. Dia sedih apabila kucing
itu tidak berbunyi. Dia mengandaikan mungkin sudah mati lemas atau mati
kelaparan.
3.2
Wanita
itu segera membawa pulang anak kucing comot tadi ke rumah. Dia ikut di belakang
dengan mengangkat sauk ikan dan tangga. Sampai di dapur, dia sandarkan tangga
dan sauk di dinding bilik air. Wanita tadi mengambil tuala kering lalu masuk ke
bilik air memandikan si comot. Jerit pekik si kecil bertompok putih hitam di
sambut gelak ketawa dan pujukan lunak wanita itu. “Diam sayang. Kita mandi
dulu. Dah bersih nanti boleh makan. Ayam ada, ikan pun ada.”
3.3
“Nasi
untuk nenek. Makan ya.” Wanita yang memanggilnya nenek itu pada perkiraannya
mungkin sebaya jika tidak lebih tua daripada usianya. Wanita itu meletakkan
bungkusan tadi ke atas ribaannya, lalu berlalu. Dia menoleh dari sebalik pokok
angsana tempatnya bersandar. Wanita itu sudah tidak kelihatan. Pintu dapur yang
tadi menganga kini sudah ditutup rapat. Tanpa berlengah, dia membuka bungkusan
yang masih suam itu. Dia menyuap gelojoh nasi putih berlaukkan sambal tumis
kerang dan seketul dada berserta kepak ayam goreng. Sedikit kuah kari menukar
putih nasi jadi kekuningan. Aroma nasi itu membuatkan suapannya bertambah
rakus. Letak punggung yang hampir melurut dari banir angsana tidak dipedulikan.
3.3 ASPEK
MAKLUMAT
Terdapat pebagai asas penelitian yang
boleh dilakukan oleh pengkaji terhadap kajian struktur maklumat. Pengkaji
menggunakan skema Sato Hirobumi atau Rahmat Abdullah yang melihat struktur
maklumat kepada dua aspek, iaitu maklumat lama dan maklumat baru. Menurut skema
beliau, maklumat lama terbahagi kepada tujuh sebagai penanda maklumat lama,
iaitu kaedah perujukan(hal merujuk secara langsung), kaedah penggantian
(penggantian bentuk baru), kaedah perulangan seluruh, kaedah perulangan
sebahagian, kaedah penghilangan (ellipsis), kaedah leksikal (pertalian
semantic) dan kaedah prafrasa (pengulangan dalam bentuk lain).
Skema
beliau terhadap maklumat baru pula terbahagi kepada empat jenis, iaitu maklumat
baru tambahan (MBT), maklumat baru kontrastif (MBK), maklumat baru pemberitaan neutral
(MBN), dan maklumat baru focus (MBF).
3.3.1
Maklumat Lama
Halliday (Mohd. Rashid Md. Idris,
2004:14), menjelaskan maklumat lama berdasarkan konsep ‘given’ atau sudut
pandangan penerima. Selain Halliday, Crystal turut menggunakan konsep ‘given’
yang menjelaskan maklumat lama ialah unsur-unsur yang telah disebut dalam
konteks sebelumnya mengalami pengulangan pada konteks yang berikutnya (Mohd
Rashid Md Idris, 2004: 14-15)
Kaedah
Perujukan
Kaedah perujukan merujuk kepada
perkara atau hal yang secara langsung dirujuk melalui teks dan rujukan yang dibuat itu dapat
dikenal pasti melalui penggunaan kata ganti nama. Contoh di bawah dapat
menjelaskan kenyataan ini.
i.
Seorang wanita tercegat memandangnya.
ii.
Segera
dia mencampak semula kertas-kertas renyuk basah dikumpul sepanjang pagi tadi ke
dalam raga.
iii.
Dia
tidak mahu disergah apatah pula dimarahi wanita
tua kurus ceding itu.
Dalam ayat di atas, frasa
“wanita tua kurus ceding itu” pada
ayat (iii) merujuk kepada “seorang
wanita” pada ayat (i).
Kaedah
Perulangan
Dari perspektif nahuannya, kaedah
perulangan membawa makna perulangan yang berlaku pada unsur-unsur dalam wacana
tanpa menimbulkan sebarang perubahan pada kategorinya, seperti contoh yang diberikan
di bawah:
i.
“Nah!”
Wanita itu menghulur. Jika diikutkan hati mahu saja dia menerkam bungkusan
kertas dalam beg plastik merah di tanganwanita yang begitu hampir dengan
tangannya.
ii.
“Nah!”
Dia terperanjat sakan. Khayalan indahnya bercempera. Dia bingkas berdiri.
Kata perintah “Nah!” dalam ayat (i)
dan (ii) diulang sepenuhnya tanpa mengalami sebarang perubahan.
Kaedah
Leksikal
Kaedah leksikal merujuk kepada
pertalian antara ayat secara semantic. Hal yang demikian ini bermaksud, setiap
ayat mengandungi ikatan atau pertalian yang dihubungkan secara semantic.
Contohnya:
i.
Demi
sebuah cinta terbit dalam ketulusan perasaan dan kemurnian jiwa dia ikut Aming
walau merempat tidur menumpang di
rumah kawan yang sudi, di masjid atau surau, malah kerap melabuh kepala berbantalkan
bungkusan kain baju di mana-mana kaki lima kedai, sehingga Aming…
ii.
Dia
tidak tekejut. Jawapan itu sudah dijangkakan. Siapa yang sudi berada di samping
orang merempat jika bukan orang merempat juga?
Dalam ayat di atas,
perkataan merempat digunakan bagi
merujuk seorang individu yang tidak mempunyai rumah atau tempat tinggal.
Kaedah
Penghilangan
Kaedah penghilangan didefinisikan
sebagai berlakunya penghilangan penyampaian atau amanat penulis. Kaedah ini
turut disebut sebagai kaedah ellipsis sebagaimana contoh yang ditunjukkan di
bawah:
i.
“Nah!
(01)” Wanita itu menghulur.
ii.
“Nah!
(01)” Dia terperanjat sakan. Khayalan indahnya … Wanita yang tadi memberinya
bungkusan nasi kini menghulur sebotol air mineral bermuatan 500 ml.
Dalam ayat (i), terdapat satu ellipsis
ditandai dengan (01), frasa kerja “ambillah”. Elipsis tersebut adalah wajar dan
tepat penggunaannya untuk memberi komunikasi yang berkesan dan unggu terhadap
pembaca.
Ayat
(ii) juga memperlihatkan satu elipsis yang ditandai dengan (01) iaitu frasa
kerja yang sama dengan elipsis pada ayat (i) iaitu “ambillah”.Kaedah ini amat
menarik kerana perbuatan yang berlaku selepas pengucapan perkataan tersebut
iaitu “menghulur” sudah menggambarkan perbuatan agar “dia” mengambil barang
yang dihulurkan tanpa disuruh ambil.
Kaedah
Parafrasa
Dapat difahami bahawa kaedah parafrasa
merujuk kepada pernyataan idea yang sama tetapi cara pengolahannya berbeza.
Kenyataan ini dapat dilihat dengan jelas menerusi contoh yang diberikan di
bawah:
i.
Aming
berbudi bahasa orangnya.
ii.
Menghormati
orang tua.
Kedua-dua ayat tersebut
dihasilkan berdasarkan pernyataan idea yang sama, iaitu Aming yang mempunyai
budi perkerti yang mulia dan menghormati orang tua merupakan satu bentuk budi
bahasa.
3.3.2
Maklumat Baru
Sato Hirobumi membahagikan maklumat
baru kepada empat jenis berdasarkan susunan ogikal judul dan cerita dalam
bentuk lahirnya (Mohd Rashid Md Idris, 2004:20). Dalam cerpen yang dikaji,
keempat-empat jenis maklumat baru terkesan oleh pengkaji.
Maklumat
Baru Tambahan
Merujuk kepada maklumat baru yang
ditambah berdasarkan perbicaraan ayat.Misalnya:
Maklumat lama
|
Maklumat Baru Tambahan
|
Dia
|
tidak
memilih jalan itu.
|
Dia
|
malu
kelihatan rakus.
|
“Dia” dalam ayatdi atas berfungsi
sebagai maklumat lama. manakala frasa “tidak memilih jalan itu” dan “malu
kelihatan rakus” memainkan peranan sebagai maklumat tambahan yang bersesuaian
dengan peranannya sebagai cerita dalam ayat. Frasa yang berkaitan secara
langsung denganjudul, maka ia dianggap maklumat baru tambahan kepada judul.
Maklumat
Baru Fokus
Maklumat Baru Fokus merujuk kepada
susunan maklumat yang melibatkanfokus pembezanya (maklumat baru) yang menduduki
tema (judul). Misalnya:
Maklumat Baru Fokus
|
Maklumat lama
|
Terlalu
sedikit
|
nasi
itu baginya.
|
Dalam ayat di atas, frasa adjektif
“terlalu sedikit” mengalami proses pendepanan predikat untuk berfungsi sebagai
judul atau tema dalam ayat ini. Sekiranya ayat ini tidak mengalami proses
pendepanan cerita, maka boleh sahaja ayat itu seperti “Nasi itu baginya terlalu
sedikit”.Jadi, frasa adjektif itu dikategorikan sebagai maklumat baru focus.
Frasa berikutnya pula, iaitu “nasi itu baginya” hanya sekadar berfungsi sebagai
maklumat lama. Hal ini disebabkan oleh maklumat itu maklumat lama sedia ada
pada pembaca.
3.4
ASPEK TAHAP KEADAAN
3.4.1
Ciri Keadaan Dalam Wacana
Keadaan
merupakan latar sewaktu bahasa itu digunakan, dan membantu pendengar atau
pembaca memahami sesuatu wacana. Ungkapan “sila masuk”, misalnya diguanakn
dalam keadaan latar seseorang mempelawa seorang yang lain masuk ke dalam bilik
atau rumahnya. Dalam sesebuah cerpen, sesuatu keadaan cerita itu dapat dilihat
melalui latarnya. Latar dapat dibahagikan kepada tiga jenis iaitu latar tempat,
latar masa dan juga latar masyarakat. Analisis
ciri keadaan dalam cerpen “ Asap di Bawah Daun” ini akan dilihat
berdasarkan ketiga-tiga ciri latar ini. Setiap latar akan menghasikan wacananya
yang tersendiri. Dalam cerpen “Asap di Bawah Daun” ini, latar tempat yang
digunakan ialah keadaan di sekitar kawasan bandar raya Harimaupura. Bagi latar
masa pula, pada awal cerita tidak dinyatakan dengan jelas tetapi hanya
menyatakan “sepanjang pagi tadi”. Pada akhir cerita pula ada dinyatakan
“selepas subuh” sebagai latar masa. Selain itu, latar masyarakat yang digunakan
dalam cerpen ini ialah latar masyarakat di bandar raya Harimaupura.
Setiap
wacana perlu dikaji dan kedudukan penutur dalam masyarakat amnya yang akan
menentukan gaya wacana sama ada gaya formal atau tidak formal. Gaya formal
contohnya, wujud apabila seseorang guru pelatih berkomunikasi dengan pensyarah,
murid atau pelajar berhubung dengan guru. Gaya tidak formal adalah gaya yang
wujud dalam hubungan biasa antara rakan. Hubungan ini menghasilkan kesan dialek
sosial dalam pertuturan.
3.4.2
Analisis Ciri Keadaan Dalam Cerpen
“Asap Di Bawah Daun”
Keadaan
Bertanya
Jika tujuan penutur adalah untuk
mendapatkan maklumat atau persetujuan, ayat yang sesuai digunakan ialah ayat
Tanya. Contoh yang dapat dilihat dalam cerpen “Asap Di Bawah Daun” ialah:
i.
“Sudikah
anak duduk dekat mak cik?”. Kadang-kadang dia rasakan tarafnya lebih rendah
daripada kucing, ayam dan anjing.
ii.
“Tidak”.
Pantas wanita tersebut menjawab.
Berdasarkan ayat ini,
penutur cuba mengajak seorang wanita untuk duduk berdekatannya. Ayat seterusnya
menunjukkan bahawa ajakan penutur telah ditolak.
Keadaan
Tidak Selesa
i.
Di
rumah besar itu dia dilayan seperti keluarga sendiri.
ii.
Dia
bebas menikmati kehidupan.
iii.
Namun
dia tidak biasa bersenang-senang setiap hari.
iv.
Dengan
simpuh sopan dan bahasa santun dia minta izin mencari duit sendiri.
v.
“Mak
cik hendak jual jagung rebus. Badan mak cik rasa sakit-sakit jika duduk diam
saja di rumah”. Tanpa menunggu jawapan wanita yang masih bungkam itu, dia
pantas mencari semua keperluan bagi melaksanakan impiannya.
Dalam ayat di atas,
keadaan tidak selesa digambarkan menerusi ayat (iii) iaitu dia tidak selesa
bersenang-senang di rumah orang lain tanpa berbuat apa-apa.
Keadaan
Mempelawa
Jika tujuan penutur untuk menyuruh
atau menjemput seseorang, ayat yang sesuai dinyatakan ialah ayat silaan.
Contohnya:
i.
“Nah!”
Wanita itu menghulur.
ii.
Jika
diikutkan hati mahu saja dia menerkam bungkusan kertas dalam beg plastik merah
di tangan wanita yang begitu hampir dengan tangannya.
iii.
“Nasi
untuk nenek. Makan ya”. Wanita yang memanggilnya nenek itu pada perkiraannya
mungkin sebaya jika tidak lebih tua daripada usianya.
Dalam ayat di atas, wanita
menghulurkan sebuah bungkusan nasi kepada ‘dia’. Wanita itu mempelawa ‘dia’
makan dengan menyatakan bahawa bungkusan nasi untuknya dan wanita itu
menggunakan ayat “makan ya”.
Keadaan
Patuh dan Taat
i.
Aming
minta izin keluarganya mengahwini dia.
ii.
Ayah
dan ibu dia memberi syarat besar “kau mesti memeluk Islam. Anak saya tidak akan
berkahwin dengan orang bukan Islam”.
iii.
Selepas
solat Subuh dia mulai merebus jagung yang sudah direndam semalaman dalam besen
besar.
Keadaan patuh dan taat
ditunjukkan melalui syarat yang dikenakan oleh keluarga ‘dia’ ke atas Aming
iaitu Aming perlu memeluk Islam sebelum mengahwini ‘dia’. Hal ini kerana umat
Islam tidak dibenarkan mengahwini seorang individu yang bukan beragama Islam.
Keadaan patuh dan taat turut ditunjukkan pada ayat (iii) iaitu ‘dia’ yang
menunaikan solat Subuh yang merupakan kewajiban sebagai seorang umat Islam.
Keadaan
Terharu
i.
Terasa
berpinar matanya apabila diserbu genang gembira yang berebut-rebut menerjah
keluar dari kelopak layunya.
ii.
“Betulkah?”
Dia menengadah lagit yang mengintai di celah-celah rimbun daun lebat angsana.
iii.
“Betulkah
apa yang saya dengar ini?’
Keadaan terharu
ditunjukkan melalui gambaran mata ‘dia’ yang berpinar setelah air mata
menerobos keluar dengan deras daripada kelopak matanya. ‘Dia’ yang menangis
kegembiraan juga menunjukkan bahawa dia sedang terharu.
Keadaan
di Bilik Tidur
i.
Selepas
mandi dia ditunjukkan sebuah bilik bersebelahan ruang makan.
ii.
Dalam
bilik itu ada kipas angin, bantal, katil dan tilam bersalut cadar bersih.
iii.
“Ini
biik mak cik.” Wanita itu menutup pintu bilik dari luar.
iv.
Semasa
memandang keliling dia melihat ada sejadah dan telekung bersangkut di penyidai
ayan berwarna biru putih di sebelah almari pakaian.
Dalam ayat (ii) menggambarkan bilik
tidur yang mempunyai kipas angin, bantal, katil dan tilam yang bersalut cadar
bersih. Selain itu, terdapat juga sejadah dan telekung yang disangkut pada
penyidai ayan berwarna biru putih bersebelahan almari pakaian.
Keadaan
Lapar
i.
Pantas
dia melangkah meninggalkan bakul sampah separuh diselongkar tadi.
ii.
Dia
lebih rela membuang hasil cariannya pagi itu biarpun usus kosongnya pedih
mengerinyut ditoreh asid, asalkan hatinya tidak dicincang lumat dengan maki
hamun orang yang tidak rela sampah buangannya dimanfaatkan.
Dalam ayat (ii)
menunjukkan bahawa ‘dia’ berada dalam keadaan lapar sehingga perutnya berasa
pedih disebabkan asid perutnya.
3.5 ASPEK
TAHAP TUJUAN
Tujuan sesebuah wacana sememangnya
mempunyai kaitan antara tautan dan juga runtutan. Tujuan sesebuah wacana juga
adalah menimbulkan interaksi komunikatif. Hal ini bermakna tujuan sebuah
sesebuah wacana yang dibentuk adalah untuk menimbulkan komunikasi antara
penutur dengan pendengar serta komunikasi antara pnulis dengan pembaca yang
melibatkan kommunikasi lisan ataupun komunikasi tulisan.
Penganalisisan dari segi tjuuan dalam
cerpen ‘Asap Di Bawah Daun’ ini melihat kepada teks yang ditulis oleh penulis
dalam sebuah teks sama ada memenuhi konsep wacana, iaitu bermakna atau tidak. Penulis
menulis cerpen ini adalah untuk menyampaikan maklumat kepada pembaca mengenai
kehidupan gelandangan yang turut mempunyai maruah dan tidak gemar dihina
walaupun mereka tidak mempunyai apa-apa. Ayat penyata yang menyampaikan
maklumat tersebut digunakan dalam cerpen ini dapat dilihat melalui contoh :
“Dalam perjalanan hidupnya yang daif,
maki hamun bukan lagi asing namun perasaannya masih belum lali. Setiap
kata-kata kesat terutama sumpah seranah amat menyakitkan. Menjadi daif dan
merempat bukan permintaannya. Dia tidak memilih jalan itu. Pantas dia melangkah
meninggalkan bakul sampah separuh diselongkar tadi. Dia lebih rela membuang
hasil cariannya pagi itu, biarpun usus kosongnya pedih mengerinyut ditoreh
asid. asalkan hatinya tidak dicincang lumat dengan maki hamun orang yang tidak
rela sampah buangannya dimanfaatkan.”.
Penulis ingin menyampaikan maklumat
kepada pembaca tentang diri nenek yang merupakan seorang gelendangan namun
turut mempunyai maruah. Penulis juga ingin pembaca mengambarkan situasi
tersebut dengan diri pembaca agar pembaca dapat memahami perasaan gelandangan.
3.6 ASPEK
TAHAP PENERIMAAN
Penganalisisan teks dari segi
penerimaan pula akan melibatkan pembaca. Hal ini disebabkan penerimaan akan
menilai tahap penerimaan dan juga pemahaman pendengar ataupun pembaca. Tambahan
pula, pembaca ataupun pendengar merupakan penerima sesuatu wacana. Selain itu,
tahap penerimaan dalam cerpen ‘Asap Di Bawah Daun’ ini akan melibatkan tahap
pemahaman pembaca disebabkan ianya melibatkan komunikasi bertulis. Pembaca
cerpen ini haruslah boleh memahami tujuan yang ingin disampaikan berdasarkan
struktur ayat yang digunakan dalam cerpen. Tambahan pula jalan cerita haruslah
saling berkaitan antara satu ayat dengan satu ayat yang lain.
Contoh :
“Terlalu sedikit nasi itu baginya.
Sudah tiga hari perutnya tidak diisi nasi. Selama tiga hari dia hanya mengalas
perut dengan sisa roti canai lebihan makan pelanggan yang diletakkan dalam
besen di belakang restoran mamak. Pemilik restoran itu sengaja meninggalkan
saki-baki yang masih elok itu untuknya. Kenyang makan roti canai tidak sama
dengan nasi.”
Berdasarkan contoh tersebut
memperlihatkan saling berkaitan antara satu ayat dengan satu ayat seterusnya.
Ayat di atas mempunyai kesinambungan dan tidak tergelincir daripada maksud
asalnya. Hal ini disebabkan penulis ingin menceritakan mengenai nenek yang
masih tidak kenyang walaupun telah makan nasi kerana nasi tersebut dirasakan
terlalu sedikit bagi dirinya yang telah tiga hari tidak makan nasi dan hanya
makan sisa-sisa roti canai lebihan baki orang. Hal ini dikatakan sebagai tahap
penerimaan pembaca. Ini berlaku apabila pembaca dapat memahami sesebuah teks
yang ditulis oleh penulis. Cerpen ini dikategorikan sebagai sebuah wacana
kerana bermakna serta menepati tahap tujuan penulis dan pembaca dapat memahami
teks tersebut.
3.7 ASPEK
TAHAP INTERTEKS
Terlebih dahulu, sebelum mengkaji
wacana dari sudut intertiks, konsep interteks perlulah difahami terlebih
dahulu. Menurut Mohd Rashid Idris et.al (2012), interteks amat bergantung
dengan wacana lain. Wacana lebih mudah difahami oleh pembaca atau pendengar
melalui interteks. Interteks adalah pengetahuan sedia ada pembaca mahupun
pendengar mengenai perkara yang diperkatakan tahap penerimaan semakin tinggi
apabila masyarakat semakin banyak mendengar dan membaca sesuatu maklumat.
Melalui interteks, pembaca atau penerima akan lebih memahami tujuan wacana yang
ingin disampaikan. Kefahaman seseorang terhadap sesuatu wacana yang dibaca atau
didengar akan membantunya menghasilkan interteks. Selain itu, antara teks dan
teks haruslah mempunyai pertalian. Dalam
sesuatu ayat atau perenggan, ayat sebelum atau perenggan sebelumnya
mempunyai maklumat yang akan diperkatakan dalam perenggan yang berikutnya. Hal
ini yang diperkatakan sebagai interteks. Interteks boleh dilihat melalui ayat
dengan ayat , perenggan dengan perenggan serta buku dengan buku.
3.7.1
Perkaitan Interteks Melalui Ayat Dalam
Cerpen
Berdasarkan konteks cerpen ini,
pembaca perlu membaca ayat demi ayat bagi memperoleh maksud yang ingin
disampaikan. Melalui cerpen ini pembaca dapat memahami beberapa perkara yang
ingin disampaikan berkenaan isi kandungan cerpen ini. Berikut merupakan antara
contoh interteks yang menerangkan perkara yang berlaku dalam cerpen.
1)
Menceritakan
keadaan hidup ‘dia’ seorang yang daif dan dipandang serong oleh masyarakat.
Contoh: Setiap kata-kata kesat
terutama sumpah seranah amat menyakitkan. Menjadi daif dan merempat bukan
permintaannya.
2)
Menunjukkan
‘dia’ yang terlalu lapar dan sudah lama tidak makan.
Contoh: Sebiji dua nasi melekat di
celah tulang-temulang ayam, dikais dengan jari lalu disuap. Saki baki urat-urat
dan kulit ayam yang masih ada di sana sini diunggisnya sehingga bersih. Malah
kepala lutut ayam yang mengandungi sedikit urat berlemak tidak dibiarkan begitu
saja. Dimamahnya juga sampai lumat sebelum ditelan.
3)
Memperlihatkan
‘dia’ seorang yang mempunyai maruah.
Contoh: Wanita itu menghulur. Jika
diikutkan hati mahu saja dia menerkam bungkusan kertas dalam beg plastik merah
di tangan wanita yang begitu hampir dengan tangannya. Namun dia menahan
keinginan. Dia malu kelihatan rakus.
3.7.2
Perkaitan Interteks melalui Perenggan
dalam Cerpen
Cerpen ini juga dikaji perenggan demi
perenggan bagi memperlihatkan kesinambungan idea yang memberi makna kepada
pembaca yang dapat membantu pemahaman pembaca mengenai teks ini. Antara
perenggan yang dapat dikaitkan dengan interteks yang memperlihatkan
kesinambungan cerpen ini ialah;
Interteks 1
Aming tinggalkan keluarga. Aming heret
dia ke hulu ke hilir. Demi sebuah cinta terbit dalam ketulusan perasaan dan
kemurnian jiwa dia ikut Aming walau merempat tidur menumpang di rumah kawan
yang sudi, di masjid atau surau, malah kerap melabuh kepala berbantalkan
bungkusan kain baju di mana-mana kaki lima kedai, sehingga Aming dapat kerja
mengambil upah mengangkat guni-guni beras dan gula, bawang dan kentang dari
lori kontena ke Kedai Runcit Badraii.
Selama jadi isteri Aming, dia tidak
pernah kebulur biarpun hidupnya tidak mewah. Wajah Aming yang manis sentiasa
menyenangkan mata memandang. Suara Aming yang lembut amat dirinduinya.
Kedua-dua perenggan di atas
menunjukkan hubungan interteks di mana menceritakan dia pernah berkahwin dan
hidup senang walaupun tidak kaya dengan seorang lelaki bernama Aming. Perkaitan
yang ditunjukkan dalam perenggan ini memperlihatkan Aming seorang yang
bertanggungjawab sebagai seorang suami yang memberikan nafkah kepada isterinya.
Perenggan sebelumnya dapat menunjukkan pembaca telah mempunyai pengetahuan
sedia ada tentang Aming dan cuba meneruskan pembacaan untuk mengetahui tentang
kehidupan ‘dia’ bersama Aming. Hal ini demikian kerana, pembaca atau penerima
akan lebih memahami tujuan wacana yang ingin disampaikan. Kefahaman seseorang
terhadap sesuatu wacana yang dibaca atau didengar akan membantunya menghasilkan
interteks.
Interteks 2
Waktu itu kedengaran bunyi keriau anak
kucing jatuh ke dalam longkang. Sejak semalam dia mendengar jeritan cemas
tersebut. Dia ingin membantu namun longkang itu terlalu dalam.
Wanita tadi berpaling, lalu berjalan
ke tepi longkang. Dia melihat wanita tersebut berlari-lari pulang, masuk ke
dalam pintu belakang yang masih menganga. Bunyi kerentang kerentung besi
berlaga dengan batu jalan menarik perhatiannya.
Wanita itu segera membawa pulang anak
kucing comot tadi ke rumah. Dia ikut di belakang dengan mengangkat sauk ikan
dan tangga. Sampai di dapur, dia sandarkan tangga dan sauk di dinding bilik
air. Wanita tadi mengambil tuala kering lalu masuk ke bilik air memandikan si
comot.
Ketiga-tiga
perenggan di atas menunjukkan hubungan interteks dalam cerpen ini. Seorang
wanita dan ‘dia’ cuba menyelamatkan anak kucing yang terjatuh di dalam
longkang. Ketiga-tiga perenggan ini mempunyai pertalian di mana pada perenggan
pertama menceritakan tentang anak kucing yang jatuh di dalam longkang. Seterusnya,
perenggan yang berikutnya, menceritakan mereka menyelamatkan kucing tersebut.
Hal ini menunjukkan berlakunya kesinambungan antara perenggan kerana interteks
adalah pengetahuan sedia ada pembaca mengenai perkara yang diperkatakan dan
tahap penerimaan semakin tinggi apabila masyarakat semakin banyak membaca
sesuatu maklumat.Oleh hal yang demikian, pembaca akan meneruskan pembacaan
untuk mengetahui apa yang akan berlaku kepada kucing tersebut. Hal ini secara
tidak langsung berlakunya tahap interteks.
Interteks 3
Selepas mandi dia ditunjukkan sebuah
bilik bersebelahan ruang makan. Dalam bilik itu ada kipas angin, bantal, katil
dan tilam bersalut cadar bersih. “Ini bilik mak cik.”
Di rumah besar itu dia dilayan seperti
keluarga sendiri. Dia bebas menikmati kehidupan. Namun dia tidak biasa
bersenang-senang sepanjang hari.
Berdasarkan
kedua-dua perenggan di atas, perkaitan interteks menunjukkan ‘dia’ telah
tinggal di sebuah rumah yang besar dan selesa yang disediakan oleh ‘seorang
wanita’. Hal ini demikian kerana, perenggan yang sebelumnya telah menggambarkan
bilik tersebut mempunyai kemudahan yang sangat lengkap untuk ‘dia’. Perenggan
seterusnya menunjukkan perkaitan maklumat sebelum yang akan diperkatakan
seterusnya. Oleh itu, kedua-dua perenggan ini menunjukkan hubungan interteks
yang menyatakan ‘dia’ hidup dalam suasana yang selesa dan hidup senang.
4.0 KESIMPULAN
Berdasarkan penelitian yang telah
dibuat, penulis cerpen Asap Di Bawah Daun ini telah menghasilkan cerpen yang
sangat baik. Cerpen ini dapat diteliti dari setiap aspek wacana iaitu tautan,
runtutan, tahap maklumat, tahap keadaan, tahap tujuan, tahap penerimaan dan
tahap interteks. Hal ini menunjukkan teks cerpen Asap Di Bawah Daun mempunyai
kesemua ciri-ciri wacana.
Penulis
telah menggunakan konsep tautan semasa penghasilan karya beliau. Bahagian
setiap konsep tautan dapat dikemukakan contoh ayat yang memperlihatkan
pertalian di antara ayat-ayat dalam cerpen. Runtutan pula memperlihatkan
susunan yang utuh bagi sesuatu idea untuk menimbulkan kesan makna dalam diri
pembaca. Sesuatu karya tanpa runtutan akan menjejaskan kefahaman pembaca.
Cerpen Asap Di Bawah Daun turut menunjukkan hal yang sama, mudah difahami
kerana wujudnya runtutan.
Selain
itu, penelitian ini membolehkan kita mengetahui bahawa wujudnya pengaliran
maklumat iaitu daripada maklumat lama ke maklumat baru. Dalam cerpen ini,
didapati juga penulis menggunakan kaedah tertentu supaya berlakunya pengaliran
maklumat. Seterusnya, tahap keadaan mampu memberi penerangan mengenai kejadian
atau peristiwa yang berlaku dalam cerpen. Berdasarkan cerpen ini, penulis
menggunakan ciri-ciri keadaan bertujuan untuk memperlihatkan keadaan yang
berlaku.
Tahap
tujuan dan penerimaan pula menyebabkan pembaca dapat memahami tujuan penulis
menulis cerpen tersebut dan menilai tahap penerimaan seseorang pembaca dalam
memahami sesebuah teks yang ditulis oleh penulis tersebut. Akhir sekali, dapat
dilihat dalam cerpen ini, bagaimana sesuatu ayat dengan ayat yang lain saling
memerlukan dan perkaitan antara perenggan dengan perenggan yang lain supaya
pembaca dapat memahami keseluruhan teks cerpen. Secara keseluruhannya, cerpen
ini merupakan karya yang sangat baik kerana mampu memenuhi kesemua ciri-ciri
wacana dan memberi pendedahan kepada pengkaji untuk mengupas tujuh tahap ketekstualan
dalam analisis wacana.
BIBLIOGRAFI
- Asmah Hj. Omar (1980). Analisis Wacana. Dewan Bahasa, 24(3), 11-25
- Asmah Hj. Omar (1980). Analisis Wacana. Dewan Bahasa, 24(4), 9-25
- Darma, Yoce Aliah. (2009). Analisis Wacana Kritis. Bandung: Yrama Widya.
- Mohd Rashid Md Idris, et.al, 2012. Analisis Wacana Berdasarkan Teks Komsas Terpilih. Perak: Emeritus Publications
- Mohd Rashid Md Idris, et.al, 2012. Tatabahasa Wacana. Perak: Emeritus Publications.
- Mohd Rashid Md Idris, 2004. Analisis Wacana Cerpen dari Perspektif Struktur Maklumat dan Struktur Tema. Kuala Lumpur: ACH Communications Sdn. Bhd.
- Rahmanu, Hasna A. (2010). Kohesi dalam Wacana Opini Media Tadulako. Jurnal FKIP Universitas Tadulako.
- Tarigan, Henry Guntur (1995), Pengajaran Wacana. Kuala Lumpur: DBP.
No comments:
Post a Comment