Aspek tatabahasa Wacana


TATABAHASA WACANA BAHASA MELAYU :
KONSEP DAN PENSEJARAHAN


1.0 KONSEP WACANA
Dari segi konsepsi, wacana melibatkan dua aspek yang penting, iaitu proses dan produk. Proses wacana melibatkan kognisi, iaitu cara berfikir untuk menghasilkan wacana. Manakala produk wacana pula ialah hasil yang dibaca atau didengar. Wacana turut mempunyai struktur dalaman dan luaran. Struktur dalam merujuk makna seperti tautan (kohesi) dan runtutan (koherensi). Bagi struktur luaran pula merujuk struktur yang wujud secara grafik atau fonik seperti struktur tema dan struktur tema dan struktur maklumat. Wacana melibatkan jaringan ayat yang mempunyai batasan, iaitu awal dan akhir. Di antara batasan itu wujud jaringan ayat melalui susunan yang bermakna memlibatkan ayat yang awal dan ayat yang mengikutinya. Jaringan atau susunan yang bermakna dapat diperlihatkan dalam contoh di bawah:
Contoh : (1) Farhan rajin menelaah buku.
             (2) Oleh demikian, dia cemerlang dalam peperiksaan.

Ayat (1) Farhan berhubung langsung dengan dia di dalam ayat (2) dari segi makna. Penghubung ayat Oleh demikian di dalam ayat (2), menghubungkan ayat (1) dengan ayat (2). Jaringan yang bermakna memungkinkan wujud kesinambungan dan kepaduan. Oleh sebab jaringan diukur berdasarkan kebermaknaannya, wacana memperlihatkan hubungan yang intim antara teks, koteks, dan konteks. Kelazimannya makna dapat difahami melalui teks. Koteks bermaksud wujud penggunaan teks lain untuk memahami sesuatu teks. Manakala konteks bermaksud perujukan sesuatu di luar teks untuk memahami sesuatu teks itu.
Wacana ialah unit tatabahasa atau linguistik tertinggi yang melangkaui batas ayat dapat ditunjukkan di dalam rajah di bawah.
Wacana
Ayat

Frasa
Kata
Morfem
Fonem

Pergerakan dari bawah ke atas menjadikan fonem sebagai unit tatabahasa yang terkecil yang membezakan makna sehinggalah ke tahap wacana sebagai unit tatabahasa yang tertinggi atau terbesar yang bermakna. Pergerakan dari atas ke bawah memperlihatkan keunikannya apabila wacana boleh mewakili oleh kata sebagai realisasinya, namun pergerakan sebaliknya tidak membenarkan situasi ini. Perhatikan percontohan di bawah :
Contoh : (3) Awak sudah menelaah buku, Farhan?
             (4) Sudah.
Ayat (3) dan ayat (4) sebagai satu wacana. Ayat (4) hanya diwakili oleh satu kata, iaitu Sudah. Sebenarnya ayat (4) secara lengkap seperti ayat (5) di bawah :
(5) Saya sudah menelaah buku.
Ayat (4) mengalami elipsis daripada ayat (5). Namun sekiranya kata sudah dilihat sebagai tanpa ayat (3) atau sendirian, maka perkataan tersebut tidak mewakili wacana. 
2.0.KAJIAN WACANA
Kajian wacana amat sinonim dengan istilah analisis wacana (discourse analysis), linguistik teks atau tatabahasa wacana. Kajian wacana merealisasikan konsep unit tatabahasa yang tertinggi, terbesar, atau terlengkap sebagai korpus bahasa yang dikaji. Dengan demikian, kajian terlengkap sebagai korpus wacana mampu menepati konsep bahasa secara fitrahnya untuk manusia berkomunikasi. Menurut Dijk (1997:23), tujuan kajian wacana adalah untuk mencari urutan, rumus dan kelaziman dalam struktur, dan strategi sesuatu korpus wacana. Beliau turut menjelaskan bahawa cakupan multidisiplin kajian wacana meliputi etnografi, semiotik, sosiolinguistik, pragmantik, etnometodologi, psikologi kognitif, psikologi sosial, komunikasi, perundangan, teologi, sains politik, dan historiografi.
Dijk (1997:24) menggambarkan kegiatan kajian wacana di dalam rajah segi tiga di bawah :

WACANA

KOGNISI


MASYARAKAT



Dijk (1985:29-31) juga telah merumuskan beberapa prinsip kajian wacana seperti berikut :
  1. Teks dan tuturan alamiah – Kajian ini menggunakan data dan konteks sebenar.
  2.  Konteks – Wacana dikaji sebagai sebahagian daripada konteksnya yang glokal dan global, dan yang sosial dan budaya.
  3. Wacana sebagai tuturan – Ini meliputi interaksi verbal dalam perbualan dan dialog formal.
  4. Wacana sebagai latihan sosial ahli – Pengguna bahasa bukan semata-mata sebagai ahli perseorangan tetapi ahli kumpulan tertentu yang boleh mengadakan, bersetuju, atau berhujah tentang institusi sosial dan politiknya.
  5.  Kategori ahli – Amalan biasa khususnya dalam analisis pertuturan untuk tidak ‘mengenakan’ pratanggapan dan kategori pengkaji, di samping menghormati cara ahli masyarakat sendiri menginterpretasikan, menyesuaikan diri dan mengkategorikan ciri dunia sosial dan gelagat ciri tersebut di dalam dunia itu.
  6. Urutan – Wacana dilihat sebagai berurutan baik dari segi penglahiran mahupun pemahaman. Penglahiran ini dari segi unit struktural seperti ayat yang disusun sehingga dapat diinterpretasikan dengan mengambil kira ayat sebelumnya.
  7. Kebinaan – Selain berurutan, wacana terbina daripada unit yang digunakan untuk fungsi yang difahami atau dianalisis sebagai unsur yang lebih besar. Ini menghasilkan struktur yang berhierarki. Ini bukan sahaja berlaku kepada bentuk, bahkan kepada makna dan interaksi. 
  8. Aras dan dimensi – Dalam kajian wacana dirungkai pada pelbagai aras dan dimensi tetapi masih berhubung kait antara satu sama lain. Aras ini mewakili jenis fenomena berbeza yang terdapat dalam wacana seperti bunyi, bentuk, makna dan tindakan.
  9.  Makna dan fungsi – Kajian wacana mencari makna dan fungsi unsur yang terlibat sehingga dapat diberikan alasan.
  10. Rumus – Dalam kajian, wacana dianggap tertakluk kepada rumus, baik secara tatabahasa, tekstual, komunikatif, mahupun interaksional.
  11. Strategi – Kajian wacana melihat tatacara pengguna bahasa menggunakan strategi yang bersifat mental dan interaksional untuk memahami wacana demi tujuan komunikatif dan sosial.
l)        Kognisi sosial – Hal ini bersangkut dengan peranan kognisi, iaitu proses mental dan representasi dalam pengeluaran dan pemahaman tentang wacana.

2.1.TAUTAN
Tautan adalah konsep hubungan antara unsur linguistik sama ada secara struktural atau semantik. Unsur ini perlu berada dalam unit teks yang berlainan. Menurut Beaugrande dan Dressler (1981:3), tautan membicarakan komponen permukaan teks sama ada secara lisan atau tulisan secara berurutan.
Tautan dikategorikan kepada tiga, iaitu:
a.       Tautan Perulangan – ada tujuh jenis
i.                    Tautan perulangan rujukan (PL1) – hubungan semantik
Contoh : Farah rajin belajar. Dia bijak.

ii.                  Tautan perulangan penggantian (PL2) – hubungan semantik
Contoh : Hatinya girang. Namun, kegembiraan itu seketika.
iii.                Tautan perulangan elipsis (PL3)
Contoh : Farid sudah pulang? Belum. (Farid belum pulang)

iv.                Tautan perulangan leksikal (PL4) – hubungan struktural
Contoh : Faris membaca buku. Buku itu tebal.

v.                  Tautan perulangan parafrasa (PL5) – hubungan antara makna tetapi struktur berlainan
Contoh : Farhan mendapat tempat pertama. Tempat pertama milik Farhan.

vi.                Tautan perulangan paralelisme (PL6) –hubungan struktural tetapi makna berbeza
Contoh : Ayah membaca buku. Ibu pula membaca majalah.

vii.              Tautan perulangan struktur dan makna sama (PL7)
Contoh : Tolong! Tolong! Firdaus berteriak. Tolong! Tolong! Firdaus berteriak lagi.

b.      Tautan Kolokasi – ada empat jenis
i.                    Tautan kolokasi antoniman (KL1)
Contoh : putih – hitam; amanah – korupsi

ii.                  Tautan kolokasi kohiponiman (KL2)
Contoh : teres/ pangsa/ banglo – rumah

iii.                Tautan kolokasi hasil (KL3)
Contoh : padi/ beras – nasi

iv.                Tautan kolokasi sifat (KL4)
Contoh : pantas – halilintar


c.       Tautan Penghubung Ayat – ada empat jenis
i.                    Tautan penghubung ayat pertambahan (PA1)
Contoh : Faris dan Farid mendapat keputusan yang cemerlang.

ii.                  Tautan penghubung ayat perlawanan (PA2)
Contoh : Mereka tetap gigih walaupun kehidupan menghimpit.

iii.                Tautan penghubung ayat akibat (PA3)
Contoh : Oleh itu, dia dianugerahi pingat kebaktian.

iv.                Tautan penghubung ayat waktu (PA4)
Contoh : Kini, usahanya berhasil.

2.2.RUNTUTAN
Umumnya, runtutan ialah kesinambungan makna atau pengantara gagasan idea. Beaugrande dan Dressler (1981:4) menjelaskan runtutan ialah cara komponen dunia teks, iaitu konfigurasi konsep dan hubungan yang mendasari teks permukaan dapat diakses bersama dan berkaitan. Jaringan ini dikaji melalui dua konsep, iaitu konsep primer (pusat kawalan) dan sekunder (mengakses dan memproses).
Konsep primer ada empat, iaitu :
i.                    Objek – merujuk entiti konsep yang mempunyai identiti dan kandungan kekal.
ii.                  Situasi – merujuk konfigurasi objek dalam keadaan semasa.
iii.                Peristiwa – merujuk kewujudan yang mengubah sesuatu keadaan atau kedudukan.
iv.                Tindakan – merujuk peristiwa yang dihasilkan secara sengaja oleh agen.
Manakala konsep sekunder ada 34, iaitu keadaan, agen, entiti terkesan, hubungan, atribut, lokasi, masa, gerakan, alat, bentuk, bahagian, bahan, kawalan, sebab, pembolehan, alasan, tujuan, persepsi, kognisi, emosi, volisi, pengiktirafan, komunikasi, kepunyaan, contoh, spesifikasi, kuantiti, modaliti, signifikan, nilai, ekuivalen, rujukan bersama, dan perulangan.
Ringkasnya, runtutan ialah suatu susunan fikiran secara logik. Runtutan dapat dikaji berdasarkan empat tahap, iaitu :
i.                    Tahap tujuan – melihat tahap sesebuah teks menepati tujuan penutur/ penulis.
ii.                  Tahap penerimaan – menilai tahap penerimaan dan pemahaman pendengar/ pembaca sesebuah teks.
iii.                Tahap maklumat – berhubung dengan sesebuah teks itu dari sudut pandangan pembaca.
iv.                Tahap keadaan – bersangkutan dengan kerelevanan teks itu dengan situasi ujaran.

2.3.STRUKTUR TEMA
Halliday (1985:38-67) menyatakan salah satu struktur tema yang bercirikan amanat dikenali sebagai struktur tema. Struktur tema (ST) terdiri daripada tema (T) dan rema (R), dengan rumus ST → T + R. Tema biasanya berada di hadapan, iaitu menjadi titik mula amanat dan perhatian dalam klausa. Rema pula yang selebihnya.
Tema boleh terdiri daripada kata nama (KN), kata sendi nama (KSN) dan kata hubung (K.Hbg).
Contoh :
[Farah] [pergi ke sekolah.]
T (KN) R

[Di Kuala Lumpur,] [ dia menetap.]
T (KSN)                  R

[Dengan senyap,] [dia membaca buku itu.]
T (K.Hbg)                       R
[Akhirnya,] [dia berjaya.]
T (K.Hbg)             R

2.4.STRUKTUR MAKLUMAT
Brown dan Yule (1983:153) menjelaskan struktur maklumat ialah unit terkecil dalam terkecil dalam struktur wacana dan sebagai unit lokal yang kecil di peringkat frasa atau klausa. Struktur maklumat sebagai sumber kepada penutur atau penulis untuk memberitahu pendengar atau pembaca tentang status maklumat.
Struktur maklumat (SM) berfungsi membina unit maklumat (UM). Struktur maklumat dapat juga ditakrifkan sebagai organisasi teks atau wacana berdasarkan fungsi maklumat lama (ML) dan maklumat baru (MB). Oleh itu, unit maklumat ialah unit struktural yang terdiri daripada maklumat lama dan maklumat baru, dengan rumus UM → (ML) + MB.
Contoh :
[Buku] [ biologi.]
ML      MB

[Anatomi] [manusia.]
MB           ML

Menurut Halliday (1985:271-286), struktur maklumat terbahagi kepada dua, iaitu maklumat lama dan maklumat baru. Maklumat lama telah diketahui dan tidak ditandai dengan nada yang tinggi, manakala maklumat baru sebaliknya dan ditandai dengan nada yang tinggi.
Pendapat Prince (1981:223-255) sedikit berlainan, struktur maklumat dibahagikannya kepada tiga, iaitu entiti lama (EL) yang secara tekstual diketahui, entiti baru (EB) yang belum diketahui atau yang diketahui tetapi belum digunakan, dan entiti takbiran (ET) yang sudah diketahui tetapi belum dinyatakan.
Oleh demikian, penyelidikan terhadap struktur maklumat memungkinkan kesedaran tentang pengaliran maklumat dalam sesuatu wacana. Kesedaran ini membolehkan kita menginsafi betapa rapatnya hubungan kognitif dengan bahasa bagi menghasilkan kegiatan komunikasi yang berkesan.

3.0.SEJARAH TATABAHASA WACANA
Wacana ialah bidang kajian linguistik yang mempunyai sejarah yang panjang, iaitu bermula dengan peradaban keagamaan yang mengkaji kitab agama seperti teks Veda sejak 1200-1000 S.M. Malah jika diselusuri lagi tentunya melibatkan zaman suhuf-suhuf dan risalah-risalah nabi-nabi Allah seawal Nabi Adam.
Tradisi keilmuan Barat menggambarkan  wacana mendapat sumber sejarahnya daripada retorik klasik seawal abad kelima sebelum Masihi. Bidang ini mendapat tumpuan dalam aliran linguistik Aristotle oleh Aristotle (384-322 S.M.) melalui karyanya Rhetoric dan diikuti aliran Stoik oleh Zeno (300 S.M.).
Kemalapan retorik klasik telah diganti dengan linguistik sejarah dan perbandingan pada awal abad ke-19. Pada awal abad ke-20, lahir aliran struktural seperti aliran Praha melalui karya Morphology of the Forktale oleh Propp (1928) dan karya Mathesius (1939). Dari kajian ini lahirlah konsep struktur tema dan struktur maklumat yang sehingga kini dikaji oleh pada sarjana bahasa.
Di Britain pula telah berkembang aliran Firth (1935) yang mengetengahkan konsep keperihalan keadaan, iaitu mengkaji bahasa dengan persekitarannya. Manakala di Amerika Syarikat, karya Harris (1952) menjadi pelopor kepada analisis wacana tentang penyebaran struktur yang melampaui ayat.
Analisis wacana moden bermula pada pertengahan 1960-an dengan terbitnya analisis struktural wacana di Perancis. Di Amerika Syarikat terdapat aliran tagmemik oleh Pike, etnografik pertuturan oleh Hymes, dan aliran tatabahasa stratifikasi oleh Lamb. Manakala di Britain wujud aliran linguistik teks oleh Hartmann. Manakala di Britain wujud aliran tatabahasa fungsional oleh Halliday yang kemudiannya dikenali dengan linguistik sistematik.
Pada dekad 1970-an, analisis wacana semakin sistematis dalam disiplin yang sama atau antara disiplin. Aliran ini terus berkembang tetapi bertentangan dengan aliran linguistik semasa, iaitu tatabahasa transformasi generatif.
Kemudian pada dekad 1980-an dan 1990-an, analisis wacana berkembang pesat, merencam dan mengkhusus. Dalam tempoh ini, banyak terbitan seperti Grimes (1975), Halliday dan Hasan (1976), Pike dan Pike (1977), Beaugrande dan Dressler (1981), Halliday (!985), Martin (1992) dan Cook (1994).

4.0.SEJARAH TATABAHASA WACANA BAHASA Melayu
Kajian wacana bahasa Melayu masih baru, iaitu sekitar tahun 1970-an. Harimurti Kridalaksana (1970:1) telah menulis makalah “NYA Sebagai Penanda Anafora”. Pada 1978, beliau turut menulis kertas kerja bertajuk “Keutuhan Wacana” dalam Konferensi Bahasa Indonesia yang kemudiannya diterbitkan di dalam Jurnal Dewan Bahasa.
Penyelidikan tentang wacana bahasa Melayu kian rancak menjelang tahun 1980-an dalam bentuk artikel, disertasi dan buku. Asmah Haji Omar (1980a dan 1980b) telah menulis dua buah artikel di dalam Jurnal Dewan Bahasa yang bertajuk “Analisis Wacana” dan “Pengajaran Bahasa untuk Kemahiran Komunikasi : Pendekatan Wacana”. Penulis artikel lain seperti Lutfi Abas (1982) dan Soenjono Dardjowidjojo (1985;1986).
Penyelidikan wacana juga dilakukan di peringkat latihan ilmiah, sarjana dan kedoktoran. Ismail (1994) dalam latihan ilmiahnya mendapati sekitar 1977 hingga 1994, latihan ilmiah yang berkaitan dengan wacana hanya muncul mulai tahun 1984 dan terdapat 14 buah latihan ilmiah yang relevan dengan wacana, antara tahun 1984 hingga 1989.

Penyelidikan makna di peringkat sarjana dalam tahun 1980-an melibatkan dua penyelidikan oleh Sucipto (1987) tentang tautan, dan Wong (1988) mengenai kesinambungan topik. Di peringkat kedoktoran pula, antaranya Abdul Aziz Idris (1982) tentang struktur tema dan sistem hubungan logikal, Rafferty (1982) mengenai struktur wacana, Azhar M. Simin (1983) berkaitan sintaksis wacana ‘YANG’, dan Tallei (1888) membicarakan analisis wacana.
Sekitar 1980-an terdapat penelitian dalam bentuk buku seperti Asmah Haji Omar (1987:108-127) mengenai teks saintifik dan Hendry Tarigan (1987;1988:334-360) tentang pengajaran wacana dan tatabahasa baku bahasa Indonesia.
Dekad 1990-an memperlihatkan percambahan penyelidikan lebih hebat, misalnya Rahmat Abdullah (Sato Hirobumi) (1991) menghasilkan tesis Ph.D dengan tajuk “Analisis Nahu Wacana Bahasa Melayu Klasik Berdasarkan Teks Hikayat Hang Tuah”. Kemudian Soeseno (1992) dengan syarahan perdananya bertajuk “Analisis Wacana dan Penerapannya”. Manakala peneliti lain yang menghasilkan kertas kerja atau artikel Samsuri (1992), Ramlan (1992), Ebah (1992), Wong (1993;1993), Sanat Md. Nasir (1992;1994;1995a dan 1995b;1996a dan 1996b), Ismail (1993;1994), dan Zahrah (1995).
Walaupun pertumbuhan kajian wacana bahasa Melayu agak lewat sekitar 10 tahun jika dibandingkan dengan di Eropah, namun perkembangannya selepas itu ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Alaf baru 2000 dan seterusnya memperlihatkan peningkatan yang mendadak dalam penyelidikan wacana di Malaysia kerana tatabahasa wacana telah dijadikan subjek atau mata kursus di peringkat institusi pengajian tinggi sama ada di peringkat ijazah dasar, ijazah sarjana, mahupun ijazah kedoktoran seperti di Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, dan Universiti Sains Malaysia.

5.0.PENUTUP  
Perbincangan dalam artikel ini sekadar suatu pengenalan kepada tatabahasa wacana bahasa Melayu dari segi konsep dan pensejarahan yang kini berusia sekitar 40 tahun. Tumpuan perbincangan hanyalah berkisar kepada persoalan asas seperti pentakrifan wacana, konsep wacana, kajian wacana, dan sejarah wacana.

No comments:

Post a Comment