Dari segi etimologi, terdapat dua pendapat tentang asal usul perkataan ‘wacana’. Pertama, ‘wacana’ berasal daripada daripada kosa kata bahasa Jawa, iaitu ‘wocono’ dan ‘wocono’ pula daripada ‘woco’ yang bermaksud baca. Kedua, pendapat yang lebih tersohor mengatakan bahawa wacana daripada bahasa Inggeris, iaitu ‘discourse’ yang berasal pula daripada bahasa Latin, iaitu ‘discursus’ yang bermakna ‘larian ke dan lari’ (Webster’s 1979:522).
Dalam
penulisan ini, pentakrifan wacana akan dibincangkan dari sudut pandangan
sarjana tempatan dan Eropah. Moeliono dan Seonjono (1988:334) mentakrifkan
wacana sebagai serangkaian kalimat atau ayat yang berkaitan dan menghubungkan
satu proposisi dengan proposisi bagi membentuk kesatuan. Harimurti Kridalaksana
(1984:208) pula menjelaskan wacana sebagai berikut:
“Satuan bahasa terlengkap; dalam hierarki gramatikal
merupakan satuan tertinggi atau terbesar. Wacana ini direalisasikan dalam
bentuk karangan yang utuh (novel, buku, ensiklopedia, dsb.), paragraf, kalimat
atau kata yang membaca amanat yang lengkap.”
Hendry
Tarigan (1987:27) pula mentakrifkan wacana seperti berikut:
“Wacana ialah satuan bahasa yang terlengkap dan
tertinggi atau terbesar di atas kalimat atau klausa dengan koherensi dan kohesi
tinggi yang berkesinambungan yang mempunyai awal dan akhir yang nyata
disampaikan secara lisan atau tertulis”.
Menurut
Chafe (1992:356), wacana digunakan dengan pelbagai maksud oleh pengkaji.
Umumnya, wacana dilihat sebagai suatu yang melampaui sempadan ayat yang
terpisah-pisah. Istilah wacana dan teks digunakan saling digunakan saling
bertukar ganti, dan kedua-duanya merujuk unit bahasa yang lebih besar daripada
ayat. Kajian wacana ialah bidang linguistik yang setara dengan cabang yang lain
seperti fonologi, morfologi, sintaksis, semantik, semiotik, dan retorik.
Berdasarkan
pentakrifan Moeliono dan Soenjono (1988), Harimurti Kridalaksana (1984). Hendry
Tarigan (1987), dan Chafe (1992), maka dapatlah penulis rumuskan takrif wacana ialah suatu kesatuan bahasa yang
lengkap dengan jaringan proposisi yang melangkaui sempadan ayat sama ada dalam
bentuk lisan (verbal) atau tulisan (non-verbal).
No comments:
Post a Comment